Assalamualaikum w.b.t
Ledakan IT meletus dimana-mana sepanjang masa. Tanpa mengira tempat dan waktu, evolusinya seakan-akan tidak terhenti. Mula-mula dari segi telekomunikasi, peralatan audio dan video, komputer dan sebagainya, semuanya mengalami evolusi yang begitu pantas.
Namun, IT bagi pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada koputer jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain seperti yang dinyatakan diatas. Ketika komputer mula-mula popular seawal dekat 80an, penggunaannya lebih menjurus kepada permainan kanak-kanak serta kerja-kerja penaipan data di pejabat, tidak lebih daripada itu.
Di masa itu siapa yang tidak kenal dengan komputer atari, Amstrad, CAT dan sebagainya yang menjadi kegilaan kanak-kanak memaksa ibu bapanya membeli komputer tersebut semata-mata untuk bermain PACMAN. Namun, semenjak perkakasan IT yang dimajukan terutamanya dalam bidang komunikasi data, komputer tidak hanya difokuskan kepada kegunaan penaipan dipejabat ataupun rekreasi sahaja tetapi dihargai lebih daripada itu.
E-Learning
- E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan on-line yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL (Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh).
- Walaupun yurannya agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar.
- Di Amerika Syarikat pula, terdapat beribu-ribu laman web pendidikan yang mengatakan bahawa mereka menyediakan program e-learning. Namun menurut Linda C. Joseph, penyelidik dari Columbus (Ohio) Public Schools, Konsep e-learning tidak hanya sekadar penghantaran nota-nota kuliah kepada pelajar ataupun penghantaran tugasan kepada pensyarah melalui e-mail semata-mata tetapi yang sebenarnya pengisian web tersebut mestilah dipenuhi dengan forum/perbincangan dua pihak secara komunikasi dua hala, pengorganisasian maklumat dengan lebih teratur dari segi nota kuliah, jadual, bayaran yuran, tutorial dan juga peperiksaan. Dengan menemui kriteria yang dinyatakan diatas, pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif dapat dilaksanakan.
- Pada setiap hari Sabtu pula, pelajar-pelajar akan menghadiri seminar secara maya.Bagi Universiti Of Nebraska pula, e-learning melalui web lebih bersifat komersial dimana pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang disukai untuk melengkapkan pengajiannya diperingkat sekolah tinggi ataupun diploma.
- Perkembangan e-learning dinegara kita agak membanggakan kerana terdapat organisasi-organisasi besar yang tidak mementingkan komersial sebaliknya lebih menekankan kepada penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.
- E-learning tidak hanya mencakupi pembelajaran jarak jauh secara maya malahan melibatkan 'Web Portal'. Kelebihan web portal, pendidikan ini ialah ia mempunyai bank-bank ujian, pelan pengajaran, bilik darjah maya, bahan-bahan pengajaran untuk guru, ujian untuk pelajar, dan direktori laman-laman web yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran serta maklumat-maklumat yang berguna seperti maklumat-maklumat sekolah, kelender tahunan, aktiviti pendidikan dan sebagainya. Antara organisasi yang melibatkan diri dalam menjayakan penubuhan web portal ini ialah seperti MIMOS Berhad melalui laman webnya, www.cikgu.net.my dan juga Kumpulan Utusan yang melancarkan laman webnya, www.tutor.com.my baru-baru ini.
Cikgu Net
- Cikgu.Net (disebut Cikgu dot Net) merupakan portal pendidikan yang pertama sekali dilancarkan dinegara kita pada bulan Mac 2000. Dengan isi kandungan yang berbahasa Melayu, ia berjaya menarik ribuan pengguna yang mendaftar dengannya, dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 120 ribu pengunjung telah pun melawat portal tersebut. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraannya, kesesuaiannya dengan iklim pendidikan tempatan serta aktiviti kokurikulum dapat diselaraskan.
- Dengan disokong kuat oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pearson Education Malaysia, DBP serta beberapa lagi organisasi besar, sumbangan Cikgu Net terhadap pendidikan negara sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Begitu juga dengan Portal Pendidikan Utusan yang mendapat sambutan hangat ketika mula-mula dilancarkan.
- Secara amnya, pembelajaran jarak jauh secara maya lebih popular dinegara kita terutamanya bagi kolej-kolej dan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan usahasama dengan universiti luar negeri dengan menawarkan program ijazah sarjana muda dan lepasan ijazah.
- Antaranya ialah seperti Hartford Management Centre Sdn Bhd menawarkan program peringkat sarjana dengan usahasama University Of Newcastle, Australia, TL Management Centre Sdn Bhd yang menawarkan program ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan usahasama Preston University, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Universiti maya tunggal tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya sepenuhnya ialah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Sektor swasta dilihat sebagai lebih mengeksplorisasi penggunaan e-learning.
No comments:
Post a Comment